Wednesday, April 16, 2008

Pakatan Rakyat akan teruskan agenda reformasi pilihan raya PDF Print E-mail
Posted by Raja Petra
Wednesday, 16 April 2008

(Harakah) - Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali menegaskan, agenda reformasi pilihan raya akan diteruskan oleh Pakatan Rakyat dengan mengemukakan petisyen pilihan raya di mahkamah dalam tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, adalah menjadi keutaman kepada Pakatan Rakyat untuk mengemaskan semua dokumentasi dan bukti penyelewengan serta penipuan SPR dalam pilihan raya lalu. Segala bukti yang diperolehi ini katanya akan dikepilkan bersama dengan petisyen yang akan dikemukakan.

Sehubungan itu katanya, Pakatan Rakyat akan terus mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman meletak jawatan kerana dalam pilihan raya ke 12 lalu terbukti SPR gagal mengendalikan pilihan raya bersih dan adil.

Sementara itu, menyentuh mengenai kesediaan 31 Ahli Parlimen KeADILan untuk memberi laluan kepada Anwar, jelas Azmin kesemua Ahli Parlimen KeADILan bersedia meletak jawatan. Bagaimanapun katanya, KeADILan tidak perlu mengumumkan kerusi mana yang perlu dikosongkan kerana sedia maklum dengan tindakan yang akan dilakukan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan.

"SPR dan kerajaan akan berbuat sesuatu bagi memastikan daftar pemilih lebih kotor dan pilihan raya lebih menjijikkan, sekiranya kami mengumumkan strategi kami. Kami semua sudah faham dengan taktik SPR," katanya sewaktu ditemui di Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Parlimen Gombak dan Adun Hulu Kelang, di Taman Melawati baru-baru ini.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penglibatan bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam persada politik selepas 14 April, katanya, Ketua Umum KeADILan itu sebenarnya tidak pernah mengiktiraf larangan berpolitik yang dikenakan Barisan Nasional dengan menggunakan hakim dan mahkamah.

Jelasnya larangan berpolitik yang dikenakan ke atas Anwar itu satu tekanan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Katanya walaupun larangan tersebut terpakai di kaca mata Barisan Nasional, tetapi Anwar terus menjalankan tanggung jawab sebagai pemimpin untuk mengajak rakyat membawa perubahan.

Katanya, semenjak berada di tembok Penjara Sungai Buloh lagi Anwar melalui penulisan dan kenyataan akhbarnya tetap memainkan peranan dalam politik tanah air dan semenjak dibebaskan beliau terus memainkan peranan yang aktif bukan sahaja untuk perjuangan KeADILan tetapi juga untuk DAP dan PAS.

"Alhamdulillah dengan semangat permuafakatan dan kebijaksanaan kepimpinan PAS, KeADILan dan DAP, kami berjaya membentuk Pakatan Rakyat. Sudah tentu selepas 15 April ini rakyat meletak harapan yang besar untuk beliau kerana beliau dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik," katanya.

No comments: