
| Black 14: MB beri kenyataan di pejabatnya Soon Li Tsin | Apr 16, 08 11:30am |
| Pihak polis akhirnya berlembut dan bersetuju mengambil kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di pejabatnya di Shah Alam berhubung siasatan tentang perhimpunan ‘Black 14' di Kampung Baru Malam Isnin lalu. Anggota polis tiba di pejabat Khalid pada kira-kira jam 1 tengahari dan selesai mengambil kenyataan beliau dalam masa 20 minit. Bagaimanapun, mereka masih berkeras meminta tiga lagi pemimpin PKR - termasuk presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden, Azmin Ali - memberi kenyataan mereka di ibupejabat polis Selangor di Shah Alam. Pagi ini polis menolak pelawaan parti itu untuk ke pejabat menteri besar Selangor di Shah Alam untuk mengambil kenyataan pemimpin parti tersebut. Bagaimanapun selepas perbincangan dengan peguam PKR, pihak polis setuju untuk mengambil kenyataan menteri besar di pejabatnya, manakala yang lainnya dikehendaki berbuat demikian di ibupejabat polis negeri. Difahamkan Khalid, yang sebelumnya telah membatalkan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri pagi tadi, dan menemai tiga pemimpin PKR itu untuk memberi kenyataan di ibupejabat polis negeri. Semalam, polis ke rumah Wan Azizah, Khalid, Azmin dan Yahya Sahri, pembantu Khalid, untuk mengadakan siasatan berhubung perhimpunan tersebut. Polis mendakwa perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman itu haram dan diadakan tanpa permit polis. Berbincang dengan peguam Bagaimanapun, ekoran kegagalan mereka untuk mendapatkan sebarang kenyataan daripada pemimpin PKR terbabit, polis telah mengarahkan mereka hadir di balai polis Dang Wangi pada jam 3 petang semalam. Mereka bagaimanapun memutuskan tidak akan hadir di balai tersebut sehinggalah pihak polis menunjukkan salinan laporan yang dikatakan dibuat berhubung perhimpunan tersebut. Mereka, termasuk Wan Azizah, memaklumkan bahawa jadual tugasan mereka penuh dan tidak dapat hadir di balai tersebut. Ekoran itu, lewat malam tadi, media dimaklumkan bahawa pemimpin PKR tersebut akan berjumpa pihak polis di pejabat Khalid di bangunan kerajaan negeri di Shah Alam pagi ini. Mereka, termasuk media, menunggu ketibaan polis sejak awal pagi ini tetapi kemudian diberitahu polis enggan datang ke pejabat kerajaan negeri. Setiausaha politik Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, polis telah menghantar faksimili untuk memaklumkan perkara tersebut pagi ini. "Sebaliknya, mereka mahu kita ke ibu pejabat polis Selangor di Shah Alam. "Kita sedang berbincang langkah selanjutnya, dengan para peguam kami," katanya kepada Malaysiakini. ![]() |


No comments:
Post a Comment